Saturday, February 7, 2009

Bersama Memartabat Bahasa Kebangsaan!

Apabila saya mula menulis untuk menyentuh isu ini, saya cuba untuk meletakkan diri saya tidak terlalu emosi dengan harapan hasil komen atau ulasan dari pembacaan saya yang cetek ini tidak terlalu menyalahkan pihak-pihak tertentu terutamanya tentang kegagalan dan kurang keberkesanan PPSMI kepada para pelajar. Apa yang ingin saya kongsi di sini lebih kepada kewajaran subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.Berdasarkan kepada pemerhatian dan pembacaan saya, saya merasakan bahasa Melayu perlu dikekalkan dalam pengajaran Sains dan Matematik. Saya setuju tentang pentingnya bahasa Melayu dikembalikan semula haknya sebagai bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik.


"Kajian pakar dalam bidang pendidikan tempatan dan luar negara, menggesa supaya kanak-kanak menggunakan bahasa ibunda dalam proses pembelajaran, terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik." (Ong Chiow Chuen, 2005)


Bagaimana dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan 1966 yang tidak dipatuhi secara tidak langsung apabila Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dengan sewenangnya menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar?


Bagaimana pula dengan bangsa-bangsa maju terdahulu sehingga sekarang yang berbangga menggunakan bahasa mereka sendiri apabila mereka telah menguasai ilmu-ilmu pengetahuan yang telah mereka ambil daripada bahasa-bahasa lain? Dalam konteks ini, perlu diingat bahawa mereka tidak menukar atau menggantikan sistem bahasa mereka kepada bahasa lain. Kemungkinan disebabkan faktor kesedaran bahawa Bahasa Jiwa Bangsa...bahasa jati diri sesebuah bangsa.


Pengalaman saya yang sedikit dalam arena pendidikan, sebagai guru GSTT, menunjukkan contoh terbaik kepada saya bagaimana kebanyakan anak-anak didik saya tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik dan seterusnya gagal untuk mendapatkan maklumat atau input Sains dan Matematik yang sepatutnya diperolehi jika diajar dalam bahasa Melayu implikasi daripada PPSMI. Adakah pelajar-pelajar yang ketinggalan ini dianggap sebagai hasil eksperimen yang tidak menjadi?


Saya menyokong perlaksanaan subjek bahasa Inggeris diajar kepada para pelajar atas tujuan ia bahasa universal. Persoalannya, bagaimana dengan penguasaan majoriti pelajar terhadap bahasa Inggeris dewasa ini? Semestinya, kajian perlu dilipatgandakan dalam menambahbaikkan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris agar peratusan pelajar dalam penguasaan subjek ini dapat ditingkatkan dari hari ke hari. Persoalannya sekarang, mengapa masalah pokok masih gagal ditangani tetapi dalam masa yang sama menambah masalah lain yang akhirnya merugikan diri sendiri. Seharusnya kita perlu sedar, segala perancangan yang ingin dijalankan perlu dipastikan keberangkalian keberkesan dan kejayaannya agar anak-anak tidak menjadi "mangsa" atas keputusan yang telah dibuat.
(Diolah daripada Milenia Muslim, Feb 2009)

Posted by .:Mohd Latiffi Latin:. at 7.2.09 |  

0 comments:

Subscribe to: Post Comments (Atom)