Friday, February 13, 2009

Satu-satunya...

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang telah menggubal satu dasar yang tersendiri apabila telah meletakkan paksi ketuhanan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 menyatakan:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."


Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik. (50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007)

Berdasarkan kepada petikan tersebut, keempat-empat elemen iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (J.E.R.I), perlu berjalan seiring dalam menghasilkan individu yang menyeluruh berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri dalam menghasilkan warganegara yang benar-benar seimbang dan beriman.

Posted by .:Mohd Latiffi Latin:. at 13.2.09 |  

0 comments:

Subscribe to: Post Comments (Atom)